Malam Sastera Berita Harian 2017: 'Asmara Dalam Lagu'

Malam Sastera adalah acara yang diadakan sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) bertujuan untuk menghayati dan menghargai karya kreatif sasterawan sasterawan Singapura. Ia merupakan usaha berterusan Berita Harian dalam menghargai, memartabatkan dan mengembangkan serta melestarikan Bahasa Melayu, budaya dan warisannya. Menampilkan seorang seniman dan seorang biduanita, malam tersebut bakal diserikan dengan persembahan yang akan menawan dan menyentuh hati penonton. Tahun ini, Malam Sastera dianjurkan sempena ulangtahun Berita Harian ke-60.


Sanisah Huri



Sanisah Huri merupakan diantara penyanyi yang begitu diminati. Selama lima dekad perjalanan anak seni ini, lagu-lagu dendangan beliau menjadi siulan ramai dan malar segar yang sering dimainkan di radio sehingga ke hari ini. Ini merupakan kali pertama, biduanita kesayangan akan bertemu peminatnya secara eksklusif dan mendendangkan pilihan lagu-lagu yang mencuit debaran 'Asmara Dalam Lagu'. Di antara lagu-lagu beliau ialah "Semenjak Berjauhan", "Permata Hatiku", "Sejak Ku Bertemu Padamu", "Kisah Tuah Dan Tijah", "Indah Di Sepanjang Perkenalan", "Kau Penghiburku", "Jauh Berjalan, Luas Pandangan", "Kau Disayang", "Kuberikan Padanya" dan "Taj Mahal".



Yusnor Ef



Mohd Nor bin Mohd. Yusofe yang lebih dikenali sebagai 'Yusnor Ef' merupakan seniman tersohor negara. Penerima Pingat Budaya ini gigih dalam usahanya memartabatkan seni hiburan Melayu tanahair. Banyak lagu dan seni kata ciptaannya didendangkan penyanyi popular termasuk Allahyarham P Ramlee, Sanisah Huri, Rahim Rahim dan ramai lagi. Senikata pertama untuk filem ialah lagu hasil ciptaan P.Ramlee filem arahan S.Kadarisman berjudul "Tunggal" . Antaranya ialah Joget Istana, Tari Panglima dan Bermandi Manda semuanya nyanyian Norli Ismail. Antara lagu-lagu rakaman piring hitam nyanyian P.Ramlee yang liriknya ditulis oleh Yusnor Ef ialah Senjakala(Ciptaan P.Ramlee) dan Lanang Tunang Tak Jadi ciptaan Kassim Masdor. Menerusi Malam Sastera 2017, beliau akan mengongsi pengalaman dalam menghasilkan lagu atau seni kata yang didendangkan Sanisah Huri.